Tuesday, April 13, 2010

Profil Kecerdasan Emosi Guru-guru

Profil Kecerdasan Emosi Guru-guru Sekolah Menengah
Zon Tengah Semenanjung Malaysia

Syafrimen
Ruslin Amir
Noriah Mohd. Ishak
Fakulti Pendidikan
Universiti Kebangsaan Malaysia

Abstrak

Kajian ini bertujuan untuk melihat profil kecerdasan emosi (EQ) guru-guru sekolah menengah Zon Tengah Semenanjung Malaysia. Seramai 174 orang guru yang berkhidmat di sebelas buah sekolah menengah telah dipilih sebagai sampel kajian. Data telah dikumpulkan menggunakan Inventori Kepintaran Emosi Malaysia (IKEM)/Malaysian Emotional Quoetient Inventory (MEQI) oleh Noriah Mohd Ishak et al (2003). Data dianalisis menggunakan perisian SPSS Versi 11.5 dengan menggunakan statistik deskriptif seperti min, peratus dan sisihan piawai. Dapatan kajian menunjukkan, graf profil bagi guru-guru di kawasan Zon Tengah dan graf profil bagi guru-guru mengikut negeri didapati mempunyai skor min yang tinggi pada domain kerohanian dan kematangan, namun rendah pada domain kemahiran sosial. Dapatan kajian juga menunjukkan terdapat perbezaan profil kecerdasan emosi (EQ) antara guru-guru di Malaysia dengan profil kecerdasan emosi guru-guru di kawasan Zon Tengah Semenanjung Malaysia. Kajian ini juga mendapati bahawa terdapat perbezaan profil kecerdasan emosi (EQ) berdasarkan faktor jantina dan faktor umur.

Abstract

This research examined the emotional intelligence (EQ) profile of secondary school teachers in central zone of Peninsular Malaysia. About 174 teachers were involved as respondents for the study. The Malaysian Emotional Quotient Inventory (MEQI) designed by Noriah Mohd Ishak et al. (2003) was used to measure the emotional intelligence of respondents. SPSS Version 11.5 was used to analyze the data collected. Descriptive statistic such as mean and standard deviation was carried out. The results showed that the general profile for the teachers scored high mean score on spirituality and maturity domain but lower score for social skills. Results also showed that teachers in all states achieved high mean score for spirituality and maturity domain but scored lower mean for social skill domain. Finally, there were difference shown in emotional intelligence profile based on gender or age.

A. Pengenalan

Sekolah merupakan institusi masyarakat yang mempunyai tujuan tertentu iaitu membentuk dan mengubah tingkah laku para pelajar (mendidik) ke arah yang dikehendaki. Perubahan tingkah laku ini merupakan matlamat yang hendak dicapai melalui fungsi sekolah. Tugas guru adalah melaksanakan fungsi ini untuk menciptakan satu suasana yang boleh menimbulkan atau menghasilkan perubahan tingkah laku tersebut (Atan Long 1978). Guru merupakan pekerja di dalam sebuah organisasi yang besar dan kompleks. Pengajaran dan pembelajaran dalam era globalisasi adalah pengalaman yang cukup memenatkan. Persaingan dan cabaran alam pekerjaan sebegini kemungkinan boleh membawa kesan negatif terhadap guru dan juga pelajar. Ini boleh menyebabkan cetusan emosi antara kedua-dua pihak, senario ini boleh menjejaskan imej guru jika ianya berlaku. Kajian Skovholt dan D’Rozario (2000) menunjukkan bahawa pelajar menganggap guru yang berempati dan pandai bergaul dianggap sebagai guru cemerlang. Dapatan ini menguatkan hasil kajian Grasha (1996) yang mendapati bahawa guru cemerlang adalah guru yang berempati dan prihatin terhadap keperluan pelajar.
Akhir-akhir ini media masa selalu sahaja mendedahkan berita-berita kurang baik yang boleh merosakan imej profesion perguruan. Noriah et al (2002) mengemukakan beberapa contoh berkaitan dengan tingkah laku kurang beretika dan kurang bertanggungjawab di kalangan guru-guru di sekolah. Seperti guru telah mendenda murid secara keterlaluan, sehingga meninggalkan kesan negatif terhadap perkembangan psikologikal dan fizikal pelajar. Contoh lain adalah ketidakbolehan guru mengawal kemarahan sehingga sampai merosakan harta benda sekolah yang seharusnya dijaga untuk kepentingan pendidikan. Tingkah laku seperti itu boleh merosakan kerjaya guru dan juga boleh menimbulkan tekanan dan gangguan kesihatan mental. Tingkahlaku seperti ini juga boleh merosakan pandangan masyarakat terhadap profession perguruan yang sepatutnya menjadi pendidik, pembimbing (role model) generasi muda yang sedang berkembang.

Utusan Malaysia (April 2001) melaporkan bahawa seorang murid tahun tiga di Klang mendakwa beliau telah dicekik, dirotan dan ditendang dadanya oleh empat orang guru. Berita Harian (Ogos 2004) melaporkan di Kuantan, 21 orang pelajar sekolah kebangsaan Jengka 1, Bandar pusat Jengka Maran, telah ditampar, membersihkan papan hitam dengan menggunakan pipi. Sehingga kejadian itu telah menyebabkan kemarahan ibubapa masing-masing pelajar. Terakhir Berita Harian (15 Ogos 2004) juga melaporkan bahawa, di Ipoh seorang pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Anderson, mendakwa ditumbuk, ditampar dan dirotan oleh guru matematiknya hingga menyebabkan tangan kiri pelajar berkenaan bengkak dan dirawat di Hospital Ipoh (HI).

Kejadian-kejadian seperti ini menunjukkan bahawa, sebahagian guru tidak dapat mengawal emosi mereka ketika berhadapan dengan pelbagai karenah pelajar di dalam kelas. Sehingga mereka melakukan perkara-perkara yang boleh menimbulkan kecerderaan fizikal dan juga kesan psikologis yang mendalam kepada pelajar. Sesetengah pelajar merasa takut untuk datang ke sekolah akibat perlakuan guru yang sedemikian. Pertanyaanya sekarang adalah; Adakah perkara sebegini wajar dilakukan oleh seorang guru untuk mendidik pelajarnya? Apakah sebenarnya yang telah berlaku di kalangan guru-guru di Malaysia? Adakah mereka hanya pintar dalam akademik, namun sedikit sekali mengetahui ilmu-ilmu psikologi yang sepatutnya dimiliki oleh calon-calon pendidik? Rentetan pertanyan seperti ini, telah banyak dijawab oleh ahli-ahli psikologi, yang mengemukakan bahawa para pendidik tidak cukup hanya dengan kecerdasan intelek sahaja, namun mereka juga harus memiliki keterampilan-keterampilan psikologi sehingga memudahkan mereka untuk mendekati dan merubah tingkah laku para pelajarnya. Salah satu contoh yang akan dibincangkan dalam kajian ini adalah “guru perlu mempunyai kecerdasan emosi yang tinggi”.

Goleman (1995) telah mengemukakan satu idea untuk menerangkan beberapa domain yang boleh mempengaruhi kecerdasan emosi seseorang. Idea Goleman ini cuba menerangkan faktor kegagalan dan kejayaan seseorang dalam kehidupan peribadi dan kerjaya masing-masing daripada perspektif kecerdasan emosi. Goleman (1999) menyatakan bahawa kecerdasan emosi ialah kemampuan mengenali perasaan sendiri dan perasaan orang lain, kemampuan memotivasi diri sendiri dan kemampuan mengelola emosi sendiri dengan baik serta kebolehan menjalin hubungan dengan orang lain. Goleman (1999) juga menyatakan bahawa seseorang yang tidak mempunyai keupayaan mengawal emosi, agak sukar berinteraksi dengan orang lain, dan tidak mampu untuk menjalankan kerja dengan baik. Mereka juga boleh digolongkan sebagai individu yang kurang berjaya dalam kerjayanya. Peristiwa-peristiwa cetusan emosi yang berlaku, terutama yang di tempat kerja, membawa implikasi kepada tahap kestabilan dan kematangan emosi individu berkenan (Goleman, 1999). Goleman (1999) seterusnya menyatakan bahawa kecerdasan emosi sangat membantu seseorang untuk berjaya dalam kerjayanya.

Secara keseluruhannya, artikel ini cuba melihat profil kecerdasan emosi (EQ) guru-guru sekolah menengah berdasarkan lima domain Kecerdasan Emosi yang dikemukakan oleh Goleman (1995), dan dua domain tambahan berdasarkan kajian Noriah et al (2003). Pengkaji cuba mengemukakan profil kecerdasan emosi (EQ) guru-guru daripada perspektif kedua-dua hasil kajian di atas.

Dari itu perbincangan ini akan menjawab beberapa soalan kajian seperti berikut:

1. Apakah profil kecerdasan emosi (EQ) guru-guru sekolah menengah Zon Tengah Semenajung Malaysia?
2. Apakah profil kecerdasan emosi (EQ) guru-guru sekolah menengah mengikut negeri?
3. Adakah terdapat perbezaan profil kecerdasan emosi (EQ) di kalangan guru-guru sekolah menengah Zon Tengah Semenanjung Malaysia dengan profil kecerdasan emosi (EQ) guru-guru sekolah menengah di Malaysia secara keseluruhan?
4. Adakah terdapat perbezaan profil kecerdasan emosi (EQ) di kalangan guru-guru sekolah menengah mengikut jantina?
5. Adakah terdapat perbezaan profil kecerdasan emosi (EQ) di kalangan guru-guru sekolah menengah mengikut umur?

B. Kecerdasan Emosi

Kecerdasan emosi disebut juga dengan istilah EQ ataupun celik emosi. Seseorang yang memiliki kecerdasan emosi mudah bergaul bersama orang lain dengan empati dan perasaan kasih sayang, mempunyai kemahiran sosial yang tinggi dan menggunakan kesedaran emosi untuk mengawal tingkah laku. Istilah emotional Intelligence diperkenalkan oleh John Mayer dan Peter Salovey dalam tahun 1990 yang kemudian menarik minat orang ramai selepaskan dipopularkan oleh Goleman pada tahun 1995. Goleman (1995; 28) menyatakan “ an emotional competence is learned capability based on emotional intelligence that results in outstanding performance at work”. Goleman mengemukakan bahawa kecerdasan emosi menentukan potensi seseorang untuk mempelajari kemahiran berdasarkan kepada dua kecekapan (peribadi dan sosial). Kecekapan peribadi diterangkan oleh tiga domain iaitu kesedaran kendiri, regulasi kendiri dan motivasi kendiri, manakala kecekapan sosial diterangkan oleh dua domain iaitu empati dan kemahiran sosial. Kesedaran kendiri ialah kebolehan seseorang mengetahui emosi dalaman, pilihan, sumber dan intuisi. Regulasi kendiri iaitu kebolehan seseorang mengurus emosi dalaman, gerak hati dan sumber-sumber luaran yang boleh mempengaruhi emosinya. Motivasi kendiri ditakrifkan sebagai kecenderungan emosi yang mendorong seseorang untuk mencapai sesuatu matlamat. Kecekapan sosial menerangkan bagaimana seseorang menentukan kebolehan menjaga hubungan (peribadi dan professional). Domain pertama empati, dapat ditakrifkan sebagai memahami orang lain mengembangkan potensi orang lain, berorientasi perkhidmatan, mencungkil kepelbagaian dan kesedaran politik. Domain kedua pula iaitu kemahiran sosial yang diterangkan oleh subdomain; pengaruh, komunikasi, pengurusan konflik, kepemimpinan, pemangkin perubahan, kerjasama dan kebolehan berpasukan.


C. Metodologi Kajian

Kajian ini menggunakan rekabentuk kajian rentas dimana data dikumpul sekali sepanjang kajian diajalankan. Satu set borang soal selidik IKEM-MEQI yang dibina oleh Noriah et al (2003) telah digunakan sebagai instrumen kajian. Instrumen ini terdiri daripada 249 item menggunakan skala Likert lima mata bagi mengukur ketujuh tujuh domain kecerdasan emosi seperti disentuh sebelum ini. Analisis kebolehpercayaan (Cronbach Alpha) bagi instrumen ini ialah 0.98 (sangat tinggi). 174 orang guru yang berkhidmat di sebelas buah sekolah menengah di kawasan Zon Tengah Semenanjung Malaysia (Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor), telah mengambil bahagian dalam kajian ini. Semua guru terbabit adalah guru-guru sekolah menengah yang berkhidmat di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia. Guru lelaki terdiri dari 59 orang (33.9%), guru perempuan 110 orang (63.2%) dan 5 orang (2.9%) guru tidak menyatakan jantina mereka di dalam soal selidik yang dibahagikan. Dari segi umur, guru yang berumur (23-30 tahun) seramai 36 orang (20.7%), (31-40 tahun) seramai 85 orang (48.9%), (41 tahun ke atas) seramai 43 orang (27.4%) dan 10 orang guru (5.7%) tidak menjelaskan umur mereka di dalam borang soal selidik yang diberikan. Manakala dari segi etnik pula, guru Melayu 148 orang (85.1%), guru Cina 13 orang (7.5%), guru India 7 orang (4.0%) dan lain-lain 1 orang (0.6%). Manakala 5 orang (2.9%) lagi tidak menandakan mana-mana etnik yang telah ditentukan di dalam soal selidik. Dari segi satus perkahwinan pula, 137 orang (78.7%) responden yang telah berkahwin, 31 orang (17.8%) bujang dan 6 orang (3.4) tidak menyatakan status mereka di dalam soal selidik yang diberikan. Guru-guru ini dipilih secara rawak oleh pihak sekolah berkenaan.


D. Dapatan Kajian
Profil kecerdasan emosi guru-guru Zon Tengah Semenanjung Malaysia. Hasil kajian menunjukkan guru-guru mempunyai skor min yang tinggi pada domain kerohanian (M=94.01) dan kematangan (M=91.29), dan mempunyai skor min yang rendah pada domain kemahiran sosial (M=72.89). Profil kecerdasan emosi guru-guru sekolah menengah mengikut negeri (Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor), didapati juga tinggi pada domain kerohanian dan kematangan, dan terendah pada domain kemahiran sosial.

Untuk melihat perbezaan graf profil EQ antara guru sekolah menengah Zon Tengah dengan profil EQ guru-guru di Malaysia, guru-guru berdasarkan jantina dan guru-guru berdasarkan umur, pengkaji telah menjadikan graf profil guru-guru di Malaysia sebagai graf pembanding. Graf pembanding ini adalah merupakan Graf Piawai (standard) yang telah dihasilkan oleh kajian Noriah et al (2003). Dapatan kajian menunjukkan terdapat perbezaan profil EQ antara guru-guru sekolah menengah Zon Tengah Semenanjung Malaysia dengan profil EQ guru-guru sekolah menengah di Malaysia. Namun perbezaan min yang diperolehi sangat kecil. Bagaimanapun kedua-dua kumpulan yang dikaji mempunyai skor min yang tinggi pada domain kerohanian (M=95.05 bagi guru SM secara keseluruhan, M=94.01 bagi guru SM Zon Tengah) dan kematangan (M=92.32 bagi guru SM secara keseluruhan, M=91.29 bagi guru SM Zon Tengah). Graf profil juga menunjukkan skor min yang rendah pada domain regulasi kendiri dan kemahiran sosial. Bagaimanapun skor min pada domain regulasi kendiri (M=68.81) dan kemahiran sosial (M=70.40) bagi guru-guru secara keseluruhan, sedikit lebih rendah berbanding skor min regulasi kendiri (M=76.11) dan kemahiran sosial (M=72.89) bagi guru-guru sekolah menengah Zon Tengah Semenanjung Malaysia.

Perbezaan profil kecerdasan emosi (EQ) di kalangan guru-guru sekolah menengah mengikut jantina pula, menunjukkan terdapat perbezaan profil EQ diantara kumpulan guru lelaki dan kumpulan guru perempuan. Namun perbezaan tersebut sangat kecil. Bagaimanapun mereka mempunyai skor min tertinggi pada domain kerohanian (M=93.11, bagi guru lelaki, M=94.62, bagi guru perempuan) dan kematangan (M=92.47 bagi guru lelaki, M=90.94 bagi guru perempuan), dan terendah pada domain kemahiran sosial (M=74.49 bagi guru lelaki, M=72.03 bagi guru perempuan). Namun demikian didapati bahawa skor min kerohanian bagi kumpulan guru perempuan (M=94.62) sedikit lebih tinggi daripada skor min kerohanian bagi kumpulan guru-guru lelaki (M=93.11), sebaliknya skor min kematangan bagi guru lelaki ((M=92.47) sedikit lebih tinggi berbanding guru-guru perempuan (M=90.94).

Perbezaan profil kecerdasan emosi dikalangan guru-guru sekolah menengah mengikut umur, juga menunjukkan terdapat perbezaan profil EQ di kalangan guru-guru yang berlainan peringkat umur. Namun perbezaan yang diperolehi sangat kecil. Graf profil menunjukan, guru-guru yang mempunyai umur yang lebih muda mempunyai graf profil yang hampir bersamaan dengan graf profil guru-guru yang lebih tua. Ketiga-tiga kumpulan umur yang dikaji mempunyai graf yang lebih kurang sama dengan graf pembanding (standard). Graf profil yang diperolehi adalah skor tertinggi pada domain kerohanian dan kematangan, dan skor terendah pada domain kemahiran sosial.


E. Perbincangan

Goleman (1999) telah mengemukakan lima domain kecerdasan emosi iaitu kesedaran kendiri, regulasi kendiri, motivasi kendiri, empati dan kemahiran sosial. Bagi Goleman (1999) kelima-lima domain ini berbentuk hiraki, iaitu bermula dari yang rendah kepada yang tinggi: Kesedaran kendiri, regulasi kendiri, motivasi kendiri, empati dan kemahiran sosial. Domain EQ pada hirarki paling bawah akan mempengaruhi domain-domain EQ yang berada pada hirarki yang lebih tinggi. Kajian kecerdasan emosi (EQ) yang dijalankan oleh Noriah et al (2002-2003) ke atas pegawai-pegawai kerajaan di Malaysia, telah mengenalpasti penambahan dua domain baru berdasarkan konteks tempatan. Dua domain tersebut ialah “kerohanian dan kematangan”. Hasil kajian beliau juga menunjukkan bahawa kedua-dua domain berkenaan mempunyai skor min yang lebih tinggi berbanding dengan lima domain kecerdasan emosi yang dinyatakan oleh Goleman. Bagaimanapun ketujuh-tujuh domain ini tidak berbentuk hiraki sebagaimana yang dinyatakan oleh Goleman (1999). Dapatan ini menggambarkan bahawa setiap domain tersebut berada pada tahap yang berbeza.

Secara umumnya dapatan kajian ini menunjukkan skor min yang tinggi pada domain kerohanian dan kematangan. Ini menunjukkan bahawa kedua-dua domain ini sangat membantu dalam meningkatkan kecerdasan emosi di kalangan guru-guru yang dikaji. Mereka juga didapati mempunyai skor min yang rendah pada domain regulasi kendiri dan kemahiran sosial. Dapatan ini menunjukkan bahawa kumpulan guru yang dikaji mempunyai kebolehan mengawal diri yang rendah, serta kurang menggunakan kemahiran sosial mereka dalam meningkatkan kecerdasan emosi. Terdapat perbezaan profil kecerdasan emosi dikalangan guru-guru sekolah menengah Zon Tengah Semenanjung Malaysia dengan profil kecerdasan emosi guru-guru secara keseluruhan. Bagaimanapun, dapatan kajian menunjukkan skor min tertinggi pada domain kerohanian dan kematangan, bagi kedua-dua kumpulan guru-guru tersebut. Ini menunjukkan bahawa nilai-nilai kerohanian dan tahap kematangan cukup berpengaruh dalam meningkatkan kecerdasan emosi guru-guru berkenaan. Skor min yang rendah pada domain kemahiran sosial, memberikan implikasi bahawa kedua-dua kumpulan guru berkenaan kurang menggunakan kemahiran sosial mereka dalam meningkatkan kecerdasan emosinya.

Dapatan kajian juga menunjukkan terdapat perbezaan profil kecerdasan emosi berdasarkan faktor jantina dan peringkat umur. Bagaimanapun perbezaan tersebut sangat kecil. Dapatan kajian menunjukkan bahawa kedua-dua kumpulan yang dikaji mempunyai graf profil yang hampir bersamaan, iaitu mereka mempunyai skor yang tinggi pada domain kerohanian dan kematangan dan mempunyai skor yang relatif rendah pada domain kemahiran sosial. Hal ini menunjukkan bahawa kedua kumpulan tersebut sangat mengambil berat nilai-nilai agama, pengalaman serta perkara-perkara lain yang boleh menjadikan mereka bertambah matang, sehinga boleh menjadikan emosinya lebih stabil. Dapatan kajian ini selari dengan kajian Noriah et al (2003) yang mendapati bahawa domain kerohanian dan kematangan merupakan aspek penting dalam meningkatkan kepintaran emosi seseorang. Antara aspek-aspek kerohanian yang dimaksudkan ialah; keredhaan, tanggungjawab sebagai hamba kepada pencipta serta kemampuan seseorang dalam menghayati nilai-nilai agama. Keredhaan bermaksud kemampuan seseorang menerima dengan rela garis panduan agama masing-masing serta menjadikannya sebagai pedoman dalam kehidupan. Tanggungjawab memberi maksud sentiasa aktif bekerja untuk memenuhi tugas sebagai insan yang diamanahkan oleh Allah dalam mentadbir kehidupan ini. Untuk melaksanakan tanggungjawab dengan baik, seseorang perlu menghayati nilai agama seperti sentiasa menilai dahulu sebelum melakukan sesuatu perkara di samping memastikan tindakan yang dilakukannya tidak bertentangan dengan agama yang mereka anuti. Justeru, guru yang memiliki kerohanian yang bagus, mampu mendidik para pelajarnya menggunakan mata hati di samping kemahiran dan ilmu pengetahuan yang dimiliki.

Dalam konteks budaya Malaysia agama menjadi pedoman dan panduan hidup. Setiap pekerjaan, tingkah laku, pergaulan akan sentiasa dipandu oleh nilai-nilai kerohanian yang terdapat dalam agama masing-masing. Responden kajian memperlihatkan kepentingan kerohanian dalam mengawal dan membentuk emosi yang stabil, sebagai mana yang ditunjukkan oleh skor min yang tinggi pada domain tersebut. Sehubungan dengan itu, kebolehan dalam mendekatkan diri kepada Tuhan memberikan kekuatan tersendiri untuk mengendalikan emosi-emosi yang negatif (seperti; geram, rimas, sedih, dan benci). Kekuatan ini dapat dilihat daripada keperibadian individu yang tidak mudah goyah dengan pelbagai cabaran dalam pekerjaan mahupun dalam kehidupan seharian. Peribadi individu yang sentiasa tenang, suka tersenyum, mudah didampingi, senang berkomunikasi dan suka membantu orang lain melambangkan ketinggian rohani dirinya. Sebagai seorang guru, peribadi yang sedemikian sangat penting dalam membentuk keperibadian pelajar.

Para pelajar memandang guru sebagai model yang sentiasa dicontohi dalam setiap gerak geri. Ini tidaklah menghairankan kerana guru adalah orang yang menggantikan peranan ibubapa di sekolah. Seorang guru bukan hanya sekadar menyampaikan ilmu pengetahuan malahan juga memberikan nilai terhadap ilmu yang diberikan, sehingga nilai-nilai yang terkandung dalam ilmu yang disampaikan boleh menjadikan pelajarnya sebagai seorang insan yang berguna. Guru yang baik mampu membina keunggulan sahsiah pelajarnya, disamping mencipta suasana pengajaran dan pembelajaran yang boleh merangsang potensi pelajar, disamping menyeimbangkan antara tuntutan kerohanian dengan keperluan kemahiran mengurus kehidupan (Tajul Ariffin & Nor Aini, 2002). Dalam dunia hari ini penuh dengan pelbagai pengaruh negatif yang boleh merosakan jati diri generasi muda yang akan menjadi pelapis pemimpin masa depan. Untuk menghadapi hal sedemikian, pelajar perlu dibekalkan dengan nilai-nilai kerohanian dan akidah yang mantap serta kestabilan emosi (Tajul Ariffin & Nor’ Aini, 2002). Glock dan Stark (1966) dalam Djmaludin Ancok (1994) mengakui bahawa kerohanian adalah penting dalam kehidupan. Selalunya setiap tindakan dan perilaku yang ditunjukkan oleh seseorang sentiasa dipengaruhi oleh nilai-nilai kerohanian yang diyakini oleh individu tersebut.

Di samping mempunyai kerohanian yang tinggi, seorang guru juga perlu mempunyai kematangan. Kematangan yang dimaksudkan ialah kematangan dari segi usia, pengalaman dan pengetahuan, sehingga akan memberikan kesan terhadap kecerdasan emosi seseorang (Noriah et al, 2004). Individu biasanya akan lebih matang apabila usianya meningkat. Kematangan juga menggambarkan seseorang lebih berhemah dalam bertingkah laku dan bertindak. Kematangan usia juga sangat membantu individu untuk melakukan muhasabah diri dalam mengenal kelemahan dan kekuatan yang dimiliki. Dari aspek pengalaman pula, didapati ianya mempunyai perkaitan yang rapat dengan kecerdasan emosi. Seorang guru yang mempunyai pengalaman positif dalam dunia pekerjaan dan persekitaranya, biasanya dapat mengawal emosi dengan baik berbanding dengan guru yang masih kurang berpengalaman di dunia pekerjaan. Pengalaman juga boleh membantu guru belajar dan seterusnya menggunakan hasil pembelajaran tersebut apabila dalam keadaan konflik dengan diri atau orang lain. Pengalaman lepas dianggap sebagai contoh atau tauladan. Peningkatan ilmu pengetahuan juga boleh membantukan seseorang meningkatkan kematangan diri. Pengetahuan tersebut boleh diperolehi sama ada melalui pembelajaran secara formal (hasil daripada latihan dalam perkhidmatan atau sebelum perkhidmatan) atau secara tidak formal. Bagaimana pun, kebanyakan pembelajaran berlaku dalam keadaan tidak formal. Individu yang boleh menyerap ilmu pengetahuan secara tidak formal dan menggunakannya dalam kehidupan peribadi atau pekerjaannya secara berkesan akan dapat meningkatkan kepintaran emosinya. Seseorang yang matang boleh menunjukkan kebijaksanaannya dalam pemikiran, membuat pertimbangan dan membuat sesuatu keputusan. Kematangan yang ditunjukkan oleh seorang guru dalam menyelesaikan sesuatu masalah dapat mendidik pelajar dalam menghadapi pelbagai pengaruh negatif yang akan merosakan masa depannya. Pelajar itu akan menggunakan kepintaran emosi dan juga intelek dalam menengani masalah-masalah yang dihadapi.


F. Implikasi Terhadap Hubungan Guru-Pelajar dan Kajian Lanjutan

Guru dan pelajar saling melengkapi, masing-masing memainkan peranan penting dalam pembentukan suasana pengajaran dan pembelajaran yang selesa. Guru yang mempunyai tahap EQ yang tinggi lebih berketarampilan dalam menjalankan tugas mereka, kerana mereka sentiasa bersikap terbuka terhadap pandangan-pandangan baru dan sentiasa mendapatkan maklum balas tentang cara mengajar mereka daripada pelajar masing-masing. Keadaan sebegini akan merapatkan hubungan antara guru dan pelajar. Bowlby (1988) berpandangan bahawa bila seorang pelajar merasa dekat secara psikologi dengan seseorang, maka ia akan berusaha pula untuk mendekati secara fizikal, dan selalu berhubungan dengan orang tersebut dalam keadaan tertentu. Oleh sebab itu, pelajar akan sentiasa meminta bantuan guru apabila timbul masalah. Keadaan seperti ini akan lebih meningkatkan lagi hubungan baik antara guru dan pelajar.

Dalam era saat ini guru akan berhadapan dengan pelajar-pelajar yang kreatif dan inovatif dalam teknik belajar, ini menimbulkan keperluan kepada bentuk hubungan yang berbeza antara guru dan pelajar. Sehubungan dengan itu guru perlu menyesuaikan diri dengan bentuk hubungan baru. Bagaimanapun, penyesuaian memerlukan keluwesan dalam menimbangkan berbagai perspektif berdasarkan situasi (Goleman 1999). Keluwesan ini pula memerlukan kekuatan emosi, kemampuan berasa selesa dalam keadaan yang tidak menentu dan sentiasa bertenang dalam menghadapi situasi yang berlaku di luar jangkaan. Guru yang luwes adalah lebih berkeyakinan dan mahir menyesuaikan tindak balas, khususnya apabila berhadapan dengan situasi pengajaran dan pembelajaran yang berubah. Seterusnya guru yang mempunyai tahap EQ yang tinggi tidak terburu-buru membuat tindakan terhadap pelajar-pelajar yang menimbulkan masalah dalam kelas. Ini akan merangsang suasana saling memahami antara guru dan pelajar, pelajar pula merasa dihargai dan dibantu oleh guru.
Kementerian Pendidikan telah mencadangkan supaya EQ dimasukan sebagai sebahagian daripada kurikulum latihan guru. Jadi lebih banyak kajian EQ perlu dibuat untuk meneroka isu-isu yang berkaitan dengan EQ di kalangan guru yang berlainan tahap pendidikan dan latar belakang. Menurut Goleman (1999) EQ terbina berasaskan domain-domain yang tersusun mengikut hirarki. Persoalannya ialah bilakah pembinaan EQ ini bermula? Dan bagaimana ianya berlaku? Maka kajian dalam jangka masa panjang perlu dijalankan supaya Kementerian Pendidikan boleh membantu guru dengan merangka program intervensi agar EQ guru-guru dapat ditingkatkan sepanjang kerjaya mereka. Karena kertas kerja ini mengemukakan tajuk “Profil Kecerdasan Emosi Guru-guru sekolah menengah” maka satu kajian untuk menyelidik EQ pelajar dan membandingkan dengan EQ guru perlu dijalankan. Adakah EQ pelajar dipengaruhi oleh EQ guru? Satu lagi kajian yang tidak kurang pentingnya ialah melihat hubungan antara EQ, komitmen terhadap kerjaya perguruan dan pertautan terhadap organisasi di kalangan guru-guru. Ini membantu untuk memahami bagaimana guru memainkan peranan di dalam dan luar dunia pendidikan.


Rujukan

Berita Harian 7th August 2003.

Berita Harian 15th August 2004.

Bowlby, J. (1988). A secure base: Parent-child attachment and healthy human development. New York: Basic Books.
Dmaludin Ancok & Nashori Soroso. 1994. Psikologi Islami. Yogyakarta: Pustaka Pelajar.

Grasha, A.F. (1996). Teaching with styles. Cincinnati: Allience Pub.

Goleman. D. 1995. Emotional intelligence: Why it can matter more than IQ. New York: Bantam Books.

Goleman. D. 1999. Working with emotional intelligence. New York: Bantam Books.

Noriah, M.I., Ramlee, M. & Norehah, K. (2002). Personality profile of technical and non- technical students. International Journal of Vocational Education and Training, 10(2), 61-72.
Noriah M.I, Zuria Mahmud. 2003. Kepintaran Emosi di Kalangan Pekerja di Malaysia. Prosiding IRPA- RMK-8 Kategori EAR. Jilid 1: 184-187.
et al. 2004. Manual Iventori Kecerdasan Emosi Malaysia, IKEM (D). versi 2. Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Skovholt, T. & D’Rozario, V. 2000. Portraits of outstanding and inadequate teachers in Singapore: The impact of emotional intelligence. Teaching and Learning. 21(1): 9-17.

Tajul Ariffin Noordi dan Nor’ Aini Dan. 2002. Pendidikan & pembangunan manusia: pendidikan bersepadu. Bandar Baru Bangi: As-Syabab Media.

Utusan Malaysia 2 th April 2001

2 comments:

  1. Asalamualikum bapak riyan juga sudah punya blog,,jadi mohon kritik dan sarannya ya pak..ini alamt blog rian Bimbingandankonselingislam.blogspot.com

    ReplyDelete
  2. Assalmu'alaikum pak,berhubung pelaksanaan UAS akan segera berakhir, saya mewakili mahasiswa fisika B , ingin menanyakan soal untuk UAS Psikologi. kira kira dimana kami bisa mendapatkan soal UAS pak..? karena sampai sekarang kami belum menerima konfirmasi tentang soal UAS ,

    ReplyDelete