Thursday, June 10, 2010

PENDIDIKAN KARAKTER

Pembangunan Karakter Bangsa Melalui Pendidikan Nilai:
Pengalaman Malaysia ( 1970-2008 )
oleh
Prof. Madya. Dr. Tajul Ariffin Noordin
Fakulti Pendidikan
Universiti Kebangsaan Malaysia


Pendahuluan
Dua konsep dalam tajuk ini iaitu pembangunan karakter dan pendidikan nilai amat penting terutama dalam kehidupan di era pasca-modenisasi sekarang ini. Kehidupan dunia sekarang ini menghadapi keruntuhan dan kemusnahan nilai-nilai kemanusiaan. Semuanya berpunca daripada amalan pemikiran liberal, demokratik, sekular, materialistik dan individualistik yang bebas daripada penghayatan agama. Implikasinya, manusia telah hilang maruah dan harga diri. Inilah titik mula yang menyebabkan bangsa kita kehilangan jati diri dan karakter.

Pengalaman Malaysia

Penulisan ini akan menyoroti pengalaman penulis dalam perspektif pendidikan nilai di Malaysia dalam tempoh 1970-2008. Semoga pengalaman ini dapat dimanfaatkan bersama oleh rakan–rakan pendidikan serantau. Khususnya di Nusantara. Pendidikan nilai di Malaysia bermula secara serius dalam tahun 1970 dengan fokus pembangunan budaya ilmu. Maksudnya ilmu merupakan nilai terunggul untuk pembinaan karakter bangsa. Ini diikuti dengan fokus Pembangunan insan (1978), fokus Kesepaduan ilmu (1984), Kualiti insan (1987) dan fokus Masyarakat Madani (1996). Sekarang ini (2008) fokus yang giat dibangunkan ialah pembangunan Modal Insan yang berintegriti.

Kerangka Pemikiran

Untuk memudahkan pemahaman terhadap pendidikan nilai dan pembangunan karakter bangsa di Malaysia. Sila rujuk Rajah 1.

PENDIDIKAN BERSEPADU, NILAI, PEMBANGUNAN KARAKTER, Kualiti Etika dan Tanggung Jawab, Kualiti Khidmat Masyarakat, RASUAH!, Kualiti Hidup dan Kemanusiaan, Keutuhan Keluarga dan Masyarakat, Kualiti Adab Sopan, MODAL INSAN, INTEGRITI

Rajah 1.
Pendidikan Nilai dan pembangunan karakter di Malaysia

Penjelasan

Pendidikan Bersepadu

Bermaksud pendidikan yang berasaskan kesepaduan ilmu. Iaitu kesepaduan ilmu wahyu yang bersifat teras dengan ilmu akal. Matlamat pendidikan bersepadu ialah untuk melahirkan INSAN yang bertaqwa dan cemerlang daya inteleknya.

Nilai

Bermaksud manusia adalah INSAN. Menghayati nilai bersepadu iaitu juzu’ manusia, alam dan Maha Pencipta. Dengan kesepaduan ilmu, iman dan amal. Pembangunan karakter adalah secara bersepadu di antara akal, roh dan jasad. Justeru, manusia bukanlah haiwan sosial yang bebas nilai.

Pembangunan Karakter

Fokus kepada pembangunan karakter adalah konsep insaniah. Pengertian insaniah hendaklah sentiasa merujuk kepada konsep pendidikan bersepadu dan nilai yang dijelaskan di atas. Secara lebih terperinci, konsep insaniah hendaklah dibangunkan secara bersepadu dengan tujuh (7) komponen. Iaitu etika dan moral, kepimpinan, komunikasi, keusahawanan, kemahiran berfikir, pembelajaran dan pengurusan maklumat secara berterusan, dan kerja berpasukan. Pembangunan karakter dilaksanakan dengan pendekatan berfikiran global. Tetapi bertindak secara nasional, iaitu menurut acuan Malaysia. Dengan strategi ini, adalah diharap Malaysia dapat menghasilkan cendekiawan atau intelektual untuk warga dunia.

INTEGRITI

Inilah fokus nilai dan karakter yang paling utama di Malaysia pada masa kini. Integriti merujuk kepada keunggulan maruah dan harga diri insan. Juga merupakan keutuhan kualiti moral, dan akhlak yang dapat mengekalkan tahap profesionalisme yang benar-benar bertaraf tinggi. Dengan integriti yang tinggi, dapatlah dihapuskan nilai dan amalan buruk seperti lupa, lalai, ragu, menfitnah, maksiat, fasik dan munafik. Di Malaysia, keseluruhan nilai masa kini bermatlamat untuk pengukuhan integriti.

4.1 Pembinaan Kualiti Adab Sopan

Dalam perubahan dan kemajuan dunia yang cukup pantas dan rakus hari ini, ternyata kualiti adab sopan semakin terhakis dan pupus. Adab sopan dianggap nilai negatif yang boleh menghalang kejayaan diri dan pembangunan Negara. Sedikit demi sedikit kualiti adab sopan sesama manusia, di antara manusia dengan alam dan dengan Tuhan semakin terhakis dan hilang. Menyedari fenomena ini, pembangunan karakter bangsa perlu dimulai dengan pembinaan dan pengukuhan adab sopan.
Pembangunan, Keutuhan Keluarga dan Masyarakat

Malapetaka atau tsunami paling besar yang melanda manusia sedunia hari ini ialah berlakunya keruntuhan institut keluarga dan masyarakat. Dengan keruntuhan dua institusi ini, maka bermula kehancuran nilai dan adab sopan manusia. Harga diri dan karakter manusia menjadi semakin hina dan songsang. Tugas pendidikan yang amat mendesak sekarang adalah untuk membangunkan dan memperkasa semula institusi keluarga dan masyarakat. Justeru, pendidikan nilai haruslah dimulai dengan program-program pendidikan keluarga dan masyarakat. Daripada keluarga dan masyarakat yang harmoni akan lahirlah insan yang mempunyai asas nilai dan karakter yang mulia.
Kualiti Hidup dan Kemanusiaan
Kualiti hidup dimaksudkan sebagai kehidupan yang harmoni dengan fitrah insan yang dianugerah oleh Allah swt. Manakala kemanusiaan diertikan sebagai kehidupan yang berbudaya dan bertamadun berpaksikan ajaran agama yang suci. Kesepaduan kedua-dua faktor ini akan menyuburkan pembangunan nilai-nilai murni dan pembinaan karakter insan. Dengan ini dapatlah disemarakkan corak dan gaya hidup yang normal dan harmoni dengan fitrah insan. Ini bermakna semua nilai yang dicetuskan oleh hukum rimba dan nafsu serakah manusia dapat dihapuskan. Di sinilah sepatutnya pendidikan itu difokuskan.
Kualiti Etika dan Tanggung Jawab

Kualiti etika dan tanggung jawab adalah dua faktor yang akan mencantik, mewarnai dan mengindahkan lagi kehidupan manusia. Juga dapat melonjakkan nilai-nilai murni ke tahap penghayatan dan amalan dalam realiti kehidupan secara praktik. Dalam kata yang lain kedua faktor di atas akan mampu memindahkan persepsi nilai dalam bentuk abstrak kepada nilai dalam bentuk yang praktikal.
Kualiti Kehidupan Masyarakat

Dengan terbentuknya nilai-nilai secara praktikal, maka amalan tanggung jawab moral dan sosial akan terus dipraktikkan. Keadaan itu tentu sekali akan meningkatkan penglibatan dan kerja-kerja sosial. Ini akan membantu dalam peningkatan kualiti kebajikan, keselamatan, kebersihan dan kesihatan rakyat. Penglibatan dalam program rakyat ini akan membantu dalam pembentukan dan pembangunan karakter bangsa.


Menghapus Rasuah

Musuh yang paling bahaya dalam usaha-usaha pembinaan integriti dalam masyarakat dan negara ialah najis dan jenayah rasuah. Sikap buruk inilah yang merosakkan agama, bangsa dan Negara. Oleh itu, matlamat akhir pendidikan nilai adalah untuk membentuk masyarakat yang bebas dan bersih daripada rasuah. Untuk tujuan ini, kelima-lima komponen integriti yang dibincang sebelum ini (4.1 – 4.6) hendaklah dilaksanakan secara bersepadu dan berterusan dengan matlamat untuk menghapuskan rasuah hingga ke akar umbinya sekali. Oleh itu, pendidikan nilai yang akan diusahakan nanti hendaklah meletakkan matlamat untuk menghapuskan rasuah.

Paradigma Berfikir

Kegagalan pendidikan nilai adalah berpunca daripada amalan kaedah berfikir yang tidak sihat. Dari segi pengetahuan dan pemahaman nilai didapati baik. Tetapi dari segi penghayatan dan amalan nilai, murid-murid didapati masih bermasalah. Perkara ini mungkin berpunca daripada cara berfikir yang negatif dan tidak sihat.

Bagi mengatasi masalah berfikir dicadangkan penyelesaiannya seperti yang digambarkan dalam rajah 2. Penjelasannya adalah seperti berikut.
5.1 Budaya Ilmu

Pemikiran yang sihat akan bermula dengan adanya budaya ilmu. Maksudnya budaya mencari fakta dan bukti yang dapat mencapai kebenaran. Dalam pendidikan nilai perlu dimulai dengan ilmu. Dalam konteks ini pelajar perlu dididik supaya minat berfikir dan mencintai kebenaran ilmu.

5.2 Ilmu Wahyu

Adalah kebenaran yang terdapat dalam Al-Qur’an dan As-Sunnah. Ilmu wahyu bersifat benar. Oleh itu pelajar mesti dididik supaya yakin, taat dan mencintai kebenaran ilmu wahyu. Tidak boleh ada sebarang keraguan dalam ilmu wahyu. Pada tahap ini, usaha-usaha untuk meningkatkan keimanan perlu dilakukan. Apabila iman telah kental maka pelajar tidak akan ragu terhadap ilmu wahyu. Inilah yang kami namakan sebagai akhlak insan. Maksudnya pelajar akan mulakan dengan berfikir secara positif terhadap kebenaran ilmu wahyu.


PROSES BERFIKIR
1. BUDAYA ILMU: ILMU
2. ILMU WAHYU : IMAN (Akhlak Insan)
● Yakin & Taat
● Cinta Kebenaran
3. PROSES BERFIKIR: PENGHAYATANAkhlak, Ilmu
● Analisis
● Sintesis
● Pemurnian
● Ulang dan bina semula
● Permudahkan
4. HASIL : AMAL (Amar Makruf Nahi Mungkar)
● Kebenaran
● Kesejahteraan

Rajah 2. Kaedah Berfikir untuk Pendidikan Nilai menurut Konsep Pendidikan Bersepadu


5.3 Proses Berfikir

Apabila pelajar-pelajar telah beriman, yakin dan taat terhadap ilmu wahyu, mereka dibimbing untuk berfikir secara sihat terhadap ilmu-ilmu akal. Berfikir secara sihat terhadap ilmu-ilmu akal kami namakan akhlak ilmu. Maksudnya niat untuk berfikir mestilah ke arah kebaikan dan kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat. Tahap-tahap proses berfikir untuk ilmu-ilmu akal ialah analisis, sintesis, pemurniaan, mengulangi dan membina semula; dan akhirnya mempermudahkan. Justeru, nilai yang perlu dibina di sini ialah sentiasa berfikiran sihat untuk kebaikan dan kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.

5.4 Hasil Pemikiran

Di akhir proses berfikir hasilnya adalah untuk mencapai kebenaran ilmu dan kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat. Untuk mencapai matlamat ini, faktor yang perlu diterapkan ialah konsep amal dalam kehidupan seharian. Lebih tepat lagi kami namakan faktor ini sebagai Amar makruf nahi mungkar. Aspek nilai yang difokuskan dan diutamakan di sini ialah amalan dan perjuangan untuk melaksanakan kebaikan. Pada masa yang sama menentang sekeras-kerasnya segala bentuk kemungkaran dan maksiat. Kalau dianalisis dengan teliti rajah 2, dapatlah difahami berlaku pergerakan amalan nilai berterusan tanpa henti seperti juga peredaran darah dalam tubuh manusia. Inilah yang kami namakan proses pendidikan nilai dalam kaedah berfikir menurut konsep pendidikan bersepadu.
Perlaksanaan Pendidikan Nilai: Paradigma Al-Qur’an dan As-Sunnah

Di Sekolah

(i) Sumber asas dalam pendidikan mestilah Ilmu Wahyu iaitu Al-Qur’an dan As-Sunnah yang mesti diimani, diyakini dan dicintai.

(ii) Pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan menurut konsep pendidikan bersepadu. Maksudnya ilmu wahyu menjadi paksi kepada ilmu akal. Nilai yang dibina di sini ialah akhlak insan dan akhlak ilmu.

(iii) Melaksanakan Falsafah Pendidikan Negara (Malaysia). Tujuannya untuk memberi wajah pendidikan menurut Acuan Malaysia. Matlamatnya ialah untuk melahirkan insan yang berintelek dan bertaqwa.

(iv) Strategi pengajaran dan pembelajaran yang diguna pada tahap persekolahan ialah memberi pengetahuan, pemahaman dan penghayatan nilai-nilai murni.

(v) Model atau pendekatan pendidikan pada tahap sekolah ialah model kognitif, model motivasi dan model harmoni. Nilai-nilai yang dibina di sini akan membentuk moral, akhlak, disiplin, peribadi dan karakter yang benar-benar mantap. Paksi kepada semua faktor ini ialah pembangunan INSAN.

A. Lokasi B. Tahap Pengajaran dan C. Model Pendidikan
Pembelajaran
I. SEKOLAH Pengetahuan Kognitif
1. Pendidikan Pemahaman Motivasi
Al-Qur’an& Penghayatan Harmoni
As-Sunnah

2. Pendidikan
Bersepadu

3. Falsafah
Pendidikan
Negara (Malaysia)
II. DALAM KEHIDUPAN

4. Amalan Taqwa AMALAN Aplikasi Ilmu
● Persaudaraan
● Tanggung jawab
Moral dan Sosial

Rajah 3. Perlaksanaan Pendidikan Nilai Menerusi Paradigma Al-Qur’an dan As-Sunnah
Dalam Kehidupan

(i). Alam kehidupan merupakan hasil pendidikan. Pelajar-pelajar yang akan memasuki alam kehidupan diharap akan mengamalkan sifat-sifat ketaqwaan dalam semua aktiviti kehidupan. Maksudnya akan melakukan kebaikan dan pada masa yang sama akan menentang sekeras-kerasnya semua bentuk keburukan dan maksiat. Juga pelajar-pelajar diharap akan mengukuh persaudaraan sesama insan. Akhirnya akan bersama menjalankan tanggung jawab moral dan sosial. Ketiga-tiga faktor ini merupakan nilai yang sangat penting untuk membangunkan bangsa yang berkarakter dan berjasa kepada agama, bangsa dan negara.

(ii) Fokus nilai yang sangat kritikal dalam kehidupan adalah tahap amalan. Kajian menunjukkan pendidikan nilai telah berjaya pada tahap pengetahuan, pemahaman dan penghayatan. Tetapi aspek pengamalan nilai dalam kehidupan ternyata amat lemah sekali. Atas kenyataan inilah tahap amalan perlu diberi fokus utama dalam kehidupan.

(iii) Dalam kehidupan pelajar model pendidikan yang sesuai ialah model tingkah laku dan model aplikasi ilmu. Paksi kepada kedua faktor di atas adalah konsep fitrah dan konsep ibadah. Kedua konsep ini merupakan asas kepada konsep nilai untuk membentuk kehidupan pelajar yang sihat dan sejahtera.

Cadangan dan Penutup

Pendidikan nilai adalah agenda perdana di Malaysia sejak tahun 1970. Malah agenda ini menjadi semakin penting masa ini (2008) disebabkan kita menghadapi serangan gelombang hidup pasca modernisasi. Kajian mutakhir di Malaysia menunjukkan pendidikan nilai hanya berjaya mencapai matlamat tahap pengetahuan dan pemahaman nilai. Tahap penghayatan dan amalan masih belum berjaya. Dalam kertas ini pendidikan nilai dilaksanakan dengan strategi baru seperti yang digambarkan dalam Rajah 1, 2 dan 3. Untuk memudahkan perlaksanaan pendidikan nilai seterusnya, berikut adalah beberapa cadangan yang sesuai dilaksanakan.

Cadangan

Kesan negatif daripada gaya hidup pasca modern perlu difahami supaya dikenalpasti di manakah bermulanya punca dan masalah nilai. Pendidikan nilai perlu difokuskan kepada memperkasa integriti dalam kehidupan. Seterusnya dihayati dan diamalkan dalam enam (6) aspek atau komponen integriti. Sebagai langkah permulaan kaedah berfikir perlu diubah daripada kaedah berfikir secara saintifik kepada kaedah pemikiran bersepadu seperti yang digambarkan dalam Rajah 2. Sebagai alternatif, kaedah pendidikan nilai boleh menggunakan kaedah yang dinamakan ‘paradigma Al-Qur’an dan As-Sunnah’ (Rajah 3). Pendidikan nilai sama ada di sekolah ataupun di institusi pendidikan tinggi (IPTA/IPTS) hendaklah meletakkan matlamat pada tahap penghayatan dan pengamalan nilai. Ini perlu dilaksanakan secara harmoni dan berterusan di peringkat sekolah, ke peringkat institusi pendidikan tinggi (IPTA/IPTS) dan seterusnya ke dalam kehidupan sebenar pelajar.