Sunday, April 11, 2010

Guru dan Kepintaran Emosi

Guru dan Kepintaran Emosi: Implikasi Ke Atas Kebolehan Guru
Menangani Masalah Sosial Pelajar

Dr. Syed Najmuddin Syed Hassan
Prof. Madya. Dr. Noriah Mohd. Ishak
Dr. Syafrimen

Fakulti Pendidikan
Universiti Kebangsaan Malaysia
syednajmuddin1@hotmail.com
norwmu@hotmail.com
syafrimens@yahoo.com

Abstrak

Kajian ini melihat profil Kepintaran Emosi di kalangan guru-guru. Seramai 642 orang guru sekolah menengah yang mengajar di sekolah asrama penuh dan sekolah harian telah mengambil bahagian dalam kajian ini. Kajian ini menggunakan kaedah tinjauan sebagai rekabentuk kajian, Satu soalselidik yang telah dibina oleh sekumpulan penyelidik daripada UKM (IKEM-MEQI) telah digunakan untuk mengumpulkan data. Terdapat tujuh domain kepintaran emosi yang dilihat dalam kajian ini iaitu: kesedaran-kendiri, regulasi-kendiri, motivasi-kendiri, empati, kemahiran sosial, kerohanian dan kematangan. Hasil kajian menunjukkan wujud profil yang dominan untuk menggambarkan kepintaran emosi guru-guru tersebut. Subjek kajian juga di dapati mempunyai skor yang rendah pada domain kemahiran sosial, dan regulasi kendiri. Manakala skor tertinggi adalah pada domain kerohanian dan kematangan. Implikasi dapatan kajian ke atas kebolehan guru menangani masalah sosial pelajar juga dibincangkan.

Pengenalan

Majikan secara umumnya mengetahui bahawa kecekapan kerja berkait rapat dengan kecerdasan emosi. Aspek emosi seperti kebolehsuaian apabila menghadapi masalah dan halangan, mempunyai keyakinan diri, bermotivasi untuk mencapai matlamat, keberkesanan kerja berpasukan, mempunyai kemahiran dalam menangani konflik dan potensi kepimpinan sangat diperlukan dalam melepasi cabaran-cabaran dalam era dunia globalisasi. Goleman (1999) menyatakan “…. Rules for work are changing”. Goleman mencadangkan prestasi diukur bukan sahaja dengan kebolehan melaksanakan tugasan bahkan dengan kebolehan mengawal diri sendiri dan orang lain. Kecemerlangan akademik memainkan peranan untuk mendapat sesuatu kerja tetapi ianya tidak menjamin prestasi yang baik. Goleman (1999) menegaskan bahawa pekerja cemerlang memiliki kelebihan berbanding dengan pekerja lain dalam mengawal emosi. Mereka boleh melaksanakan tugasan yang sukar tanpa bersungut dan rasa terbeban, boleh menjalin kerja sama yang baik sebagai satu pasukan untuk mewujudkan matlamat sesebuah organisasi.

Guru merupakan pekerja sebuah organisasi yang besar dan kompleks. Pengajaran dan pembelajaran dalam era globalisasi adalah pengalaman yang memenatkan. Persaingan dan cabaran alam pekerjaan kemungkinan boleh membawa kesan negatif terhadap guru dan juga pelajar. Ini boleh menyebabkan cetusan emosi antara kedua-dua pihak, senario ini boleh menjejaskan imej guru jika ianya berlaku. Kajian Skovholt dan D’Rozario (2000) menunjukkan bahawa pelajar menganggap guru yang berempati dan pandai bergaul dianggap sebagai guru cemerlang. Dapatan ini menyokong kajian Grasha (1996) yang mendapati bahawa guru cemerlang adalah guru yang berempati dan prihatin terhadap keperluan pelajar.

Bagaimanapun kejayaan guru melaksanakan rutin harian di sekolah sentiasa dicabar oleh berbagai pihak, seperti penggubal dasar, pentadbir sekolah, ibubapa dan pelajar. Pihak-pihak tersebut boleh menjadi pengubah persekitaran kerja yang kondusif bagi guru berkhidmat, atau sebaliknya menjadi penghalang kepada keberkesanan tugas guru. Laporan media masa (NST 2000, Utusan Malaysia 2001, Berita Harian 2003) menggambarkan fungsi guru telah direncatkan oleh pelajar bermasalah disiplin atau pelajar yang tidak menghormati guru. Seterusnya, guru berubah menjadi lebih emosional dan bertingkahlaku negatif, hal ini tentunya akan menjejaskan kecekapan guru semasa mengajar di dalam kelas. Justru, guru yang sepatutnya menjadi pemudah cara dalam proses pengajaran dan pembelajaran telah berubah kepada penyekar ilmu yang positif.

Kajian Rosnah (2003) tentang profil personality guru menunjukkan bahawa guru mempunyai emosi yang terhad dan tidak mampu memindahkan perasaan positif kepada pelajar masing-masing. Ketidakmampuan guru ini boleh mencetuskan tingkahlaku pasif di kalangan pelajar, ini mencerminkan ketiadaan emosi di dalam diri pelajar. Dapatan Kajian Noriah et al (2002) mendapati bahawa institusi pengajian tinggi di Malaysia kurang mempunyai perasaan positif. Adakah kekurangan ini disebabkan oleh kepincangan pembelajaran semasa berada pada bangku persekolahan? Guru merupakan contoh teladan (role model) yang terbaik bagi pelajar. Tindakan guru yang sarat dengan emosi atau pemikiran akan mempengaruhi tingkah laku dan pemikiran pelajar. Justeru, guru yang cemerlang akan menghasilkan pelajar yang cemerlang atau sebaliknya. Guru yang mempunyai kesedaran terhadap emosi dirinya (positif dan juga negatif), boleh menguruskan emosi secara positif , memotivasikan orang lain, menunjukkan empati, menyangi dan mengambil berat tentang pelajar serta berinteraksi secara positif dengan pelajar akan menghasilkan pelajar yang memiliki tingkahlaku yang sama.
Perbincangan ini akan mengupas dua persoalan kajian, seperti berikut:

1. Apakah profil kepintaran emosi (EQ) guru-guru di Malaysia? 2. Apakah kesan kepintaran emosi (EQ) guru-guru dalam menangani masalah sosial pelajar?

Domain Kecerdasan Emosi (EQ)

Kecerdasan emosi dipanggil juga dengan EQ ataupun celik emosi. Individu yang mempunyai EQ boleh bergaul dengan orang lain dengan empati dan perasaan kasih sayang, kemahiran sosial yang tinggi dan menggunakan kesedaran emosi untuk mengawal tingkah laku. Istilah emotional Intelligence diperkenalkan oleh John Mayer dan Peter Salovey dalam tahun 1990 yang kemudian menarik minat orang ramai selepaskan dipopularkan oleh Goleman pada tahun 1995. Goleman (1995; 28) menyatakan “ an emotional competence is learned capability based on emotional intelligence that results in outstanding performance at work”. Goleman mendakwa bahawa EQ menentukan potensi seseorang untuk mempelajari kemahiran yang berdasarkan kepada dua kecekapan (peribadi dan sosial). Kecekapan peribadi ialah kesedaran kendiri, regulasi kendiri dan motivasi kendiri, manakala kecekapan sosial terdiri daripada dua domain iaitu empati dan kemahiran sosial. Kesedaran kendiri ialah kebolehan seseorang mengetahui emosi dalaman, pilihan, sumber dan intuisi. Domain kedua ialah regulasi kendiri yang bermaksud sebagai kebolehan mengurus emosi dalaman, gerak hati dan sumber. Sedangkan domain ketiga pula motivasi kendiri ditakrifkan sebagai kecenderungan emosi yang memudahkan individu untuk mencapai matlamat.

Kecekapan sosial menerangkan bagaimana seseorang menentukan kebolehan menjaga hubungan (peribadi dan professional). Domain pertama empati, dapat ditakrifkan sebagai memahami orang lain mengembangkan potensi orang lain, berorientasi perkhidmatan, mencungkil kepelbagaian dan kesedaran politik. Domain kedua pula iaitu kemahiran sosial yang dapat diterangkan oleh subdomain; pengaruh, komunikasi, pengurusan konflik, kepemimpinan, pemangkin perubahan, kerjasama dan kebolehan berpasukan.

Metodologi Kajian

Kajian ini melibatkan seramai 642 orang guru yang berkhidmat di sekolah berasrama penuh dan juga sekolah menengah harian di negeri Kedah, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. Responden lelaki seramai 213 orang, perempuan 409 orang dan missing 20 orang. Responden yang berumur 30 tahun ke bawah seramai 320 orang, 31- 40 tahun seramai 218 orang dan 41 tahun ke atas 104 orang. Guru-guru ini dipilih secara rawak oleh pihak sekolah berkenaan. Kajian ini menggunakan satu set soal selidik IKEM-MEQI yang dibina oleh sekumpulan penyelidik UKM pada tahun 2003. Instrumen ini terdiri daripada 249 item yang menggunakan skala Likert lima mata bagi mengukur tujuh domain kepintaran emosi. Analisis kebolehpercayaan (Cronbach Alpha) bagi instrumen yang digunakan ialah 0.98.

Dapatan Kajian

Dapatan kajian menunjukkan Graf profil EQ guru-guru yang dikaji tinggi pada domain kerohanian (M= 95.05) dan kematangan (M= 92.32). Bagaimanapun responden kajian memporolehi min skor yang rendah pada domain regulasi kendiri (M= 68.81) dan kemahiran sosial (M= 70.40). Domain-domain lain seperti; kesedaran kendiri (M= 72.91), Motivasi kendiri (M= 76.54) dan empati (M= 77.06) didapati berada pada tahap yang sederhana.

Perbincangan

Goleman (1999) menyatakan bahawa domain EQ ini adalah berbentuk hirarki bermula dari yang rendah ke tinggi: Kesedaran kendiri, regulasi kendiri, motivasi kendiri, empati dan kemahiran sosial. Domain EQ yang berada pada hirarki paling bawah akan mempengaruhi domain-domain EQ yang berada pada hirarki yang lebih tinggi. Kajian ini pula mendapati bahawa guru-guru mempunyai tujuh domain kepintaran emosi (EQ) sebagaimana yang didapati oleh kajian Noriah et al (2003) dan kajian Syafrimen (2004). Bagaimanapun ketujuh-tujuh domain ini tidak berbentuk hierarki sebagaimana yang dinyatakan oleh Goleman (1999). Dapatan ini menggambarkan bahawa setiap domain tersebut berada pada tahap yang berbeza.
Dapatan kajian ini selari dengan kajian yang dijalankan oleh Noriah et al (2003) ke atas pegawai awam di Malaysia, yang mendapati bahawa domain kerohanian dan kematangan merupakan aspek penting dalam meningkatkan kepintaran emosi seseorang. Antara aspek-aspek kerohanian yang dimaksudkan ialah; keredhaan, tanggungjawab sebagai hamba serta kemampuan seseorang dalam menghayati nilai-nilai agama. Keredhaan bermaksud kemampuan seseorang menerima dengan rela panduan agama dalam kehidupan mereka. Tanggungjawab memberi maksud sentiasa aktif bekerja untuk memenuhi tugas sebagai insan yang di amanahkan oleh Allah dalam mentadbir kehidupan ini. Untuk melaksanakan tanggungjawab dengan baik, seseorang perlu menghayati nilai agama seperti sentiasa menilai dahulu sebelum melakukan sesuatu perkara di samping memastikan tindakan yang dilakukannya tidak bertentangan dengan agama yang mereka anuti. Justeru, guru yang tinggi tahap kerohanian mendidik pelajar menggunakan mata hati di samping mengguna logik pemikiran. Guru boleh mendidik kerohanian pelajar hingga akhirnya pelajar sendiri berjaya mengawal perilaku seterusnya mengurangkan masalah disiplin pelajar.

Dalam konteks budaya Malaysia agama menjadi pedoman dan panduan hidup. Setiap pekerjaan, tingkah laku, pergaulan akan sentiasa dipandu oleh nilai-nilai kerohanian yang terdapat dalam agama masing-masing. Responden kajian memperlihatkan kepentingan kerohanian dalam mengawal dan membentuk emosi yang stabil, sebagai mana yang ditunjukkan oleh min skor domain tersebut. Sehubungan dengan itu, kebolehan dalam mendekatkan diri kepada Tuhan memberikan kekuatan tersendiri untuk mengendalikan emosi-emosi yang negatif (seperti; geram, rimas, sedih, dan benci). Kekuatan ini dapat dilihat daripada keperibadian individu yang tidak mudah goyah dengan pelbagai cabaran dalam pekerjaan mahupun dalam kehidupan seharian.

Peribadi individu yang sentiasa tenang, suka tersenyum, mudah didampingi, senang berkomunikasi dan suka membantu orang lain melambangkan ketinggian rohani dirinya. Sebagai seorang guru, peribadi yang sedemikian sangat penting dalam membentuk keperibadian pelajar. Para pelajar memandang guru sebagai model yang sentiasa dicontohi dalam setiap gerak geri. Ini tidaklah menghairankan kerana guru adalah orang yang menggantikan peranan ibubapa di sekolah. Seorang guru bukan hanya sekadar menyampaikan ilmu pengetahuan malahan juga memberikan nilai terhadap ilmu yang diberikan, sehingga nilai-nilai yang terkandung dalam ilmu yang disampaikan boleh menjadikan pelajarnya sebagai seorang insan yang berguna. Guru yang baik mampu membina keunggulan sahsiah pelajarnya, disamping mencipta suasana pengajaran dan pembelajaran yang boleh merangsang potensi pelajar, disamping menyeimbangkan antara tuntutan kerohanian dengan keperluan kemahiran mengurus kehidupan (Tajul Ariffin & Nor Aini, 2002). Dalam dunia hari ini penuh dengan pelbagai pengaruh negatif yang boleh merosakan jati diri generasi muda yang akan menjadi pelapis pemimpin masa depan. Untuk menghadapi hal sedemikian, pelajar perlu dibekalkan dengan nilai-nilai kerohanian dan akidah yang mantap serta kestabilan emosi (Tajul Ariffin & Nor’ Aini, 2002). Glock dan Stark (1966) dalam Djmaludin Ancok (1994) mengakui bahawa kerohanian adalah penting dalam kehidupan. Selalunya setiap tindakan dan perilaku yang ditunjukkan oleh seseorang sentiasa dipengaruhi oleh nilai-nilai kerohanian yang diyakini oleh individu tersebut.

Di samping mempunyai kerohanian yang mantap, seorang guru juga perlu mempunyai kematangan dalam berinteraksi dengan pelajar. Seseorang yang matang boleh menunjukkan kebijaksanaannya dalam pemikiran, membuat pertimbangan dan membuat sesuatu keputusan. Kematangan yang ditunjukkan oleh seorang guru dalam menyelesaikan sesuatu masalah dapat mendidik pelajar dalam menghadapi pelbagai pengaruh negatif yang akan merosakan masa depannya. Pelajar itu akan menggunakan kepintaran emosi dan juga intelek dalam menengani masalah-masalah yang dihadapi.


Implikasi terhadap Hubungan Guru-Pelajar dan Kajian Lanjutan


Guru dan pelajar saling melengkapi, masing-masing memainkan peranan penting dalam pembentukan suasana pengajaran dan pembelajaran yang selesa. Guru yang mempunyai Tahap EQ yang tinggi lebih berketarampilan dalam menjalankan tugas mereka, kerana mereka sentiasa bersikap terbuka terhadap pandangan-pandangan baru dan sentiasa mendapatkan maklum balas tentang cara mengajar mereka daripada pelajar masing-masing. Keadaan sebegini akan merapatkan hubungan antara guru dan pelajar. Bowlby (1988) berpandangan bahwa bila seorang pelajar merasa dekat secara psikologi dengan seseorang, maka ia akan berusaha pula untuk mendekati secara fizikal, dan selalu berhubungan dengan orang tersebut dalam keadaan tertentu. Oleh sebab itu, pelajar akan sentiasa meminta bantuan guru apabila timbul masalah. Keadaan seperti ini akan lebih meningkatkan lagi hubungan baik antara guru dan pelajar.

Dalam era globalisasi, guru akan berhadapan dengan pelajar-pelajar yang kreatif dan inovatif dalam teknik belajar, ini menimbulkan keperluan kepada bentuk hubungan yang berbeza antara guru dan pelajar. sehubungan dengan itu guru perlu menyesuaikan diri dengan bentuk hubungan baru ini. Bagaimanapun, penyesuaian memerlukan keluwesan dalam menimbangkan berbagai perspektif berdasarkan situasi (Goleman 1999). Keluwesan ini pula memerlukan kekuatan emosi, kemampuan berasa selesa dalam keadaan yang tidak menentu dan boleh sentiasa bertenang dalam menghadapi situasi yang berlaku di luar jangkaan. Guru yang luwes adalah lebih berkeyakinan dan mahir menyesuaikan tindak balas, khususnya apabila berhadapan dengan situasi pengajaran dan pembelajaran yang berubah. Seterusnya guru yang mempunyai tahap EQ yang tinggi tidak akan terburu-buru membuat tindakan terhadap pelajar-pelajar yang menimbulkan masalah dalam kelas. Ini akan merangsang suasana saling memahami antara guru dan pelajar, pelajar pula akan merasa dihargai dan dibantu oleh guru.

Kajian EQ di kalangan guru amat kurang. Dan kajian ini menjadi salah satu kajian yang cuba menyelidik EQ guru di sekolah menengah. Kementerian Pendidikan telah mencadangkan supaya EQ dimasukan sebagai sebahagian daripada kurikulum latihan guru. Jadi lebih banyak kajian EQ perlu dibuat untuk meneroka isu-isu yang berkaitan dengan EQ di kalangan guru yang berlainan tahap pendidikan dan latar belakang. Menurut Goleman (1999) EQ terbina berasaskan domain-domain yang tersusun mengikut hirarki. Persoalannya ialah bilakah pembinaan EQ ini bermula? Dan bagaimana ianya berlaku? Maka kajian dalam jangka masa panjang perlu dijalankan supaya Kementerian Pendidikan boleh membantu guru dengan merengka program intervensi agar EQ guru-guru dapat ditingkatkan sepanjang kerjaya mereka. Oleh sebab kertas kerja ini mengemukakan tajuk “guru berkualiti menghasilkan pelajar berkualiti” maka satu kajian untuk menyelidik EQ pelajar dan membandingkan dengan EQ guru perlu dijalankan. Adakah EQ pelajar dipengaruhi oleh EQ guru? Satu lagi kajian yang tidak kurang pentingnya ialah melihat hubungan antara EQ, komitmen terhadap kerjaya perguruan dan pertautan terhadap organisasi di kalangan guru-guru. Ini membantu untuk memahami bagaimana guru memainkan peranan di dalam dan luar dunia pendidikan.

Rujukan

Berita Harian 7th August 2003.

Bowlby, J. (1988). A secure base: Parent-child attachment and healthy human development. New York: Basic Books
Dmaludin Ancok & Nashori Soroso. 1994. Psikologi Islami. Yogyakarta: Pustaka Pelajar.

Grasha, A.F. (1996). Teaching with styles. Cincinnati: Allience Pub.
Goleman. D. 1995. Emotional intelligence: Why it can matter more than IQ. New York: Bantam Books.

Goleman. D. 1999. Working with emotional intelligence. New York: Bantam Books.

New Strait Times 12th August 2000

Noriah, M.I., Ramlee, M. & Norehah, K. (2002). Personality profile of technical and non- technical students. International Journal of Vocational Education and Training, 10(2), 61-72.

Noriah M.I, Zuria Mahmud. 2003. Kepintaran Emosi di Kalangan Pekerja di Malaysia. Prosiding IRPA- RMK-8 Kategori EAR. Jilid 1: 184-187.

Rosnah (2003). Profil personality guru-guru. Laporan Projek Sarjana Pendidikan, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Skovholt, T. & D’Rozario, V. 2000. Portraits of outstanding and inadequate teachers in Singapore: The impact of emotional intelligence. Teaching and Learning. 21(1): 9-17.

Syafrimen. 2004. Profil Kecerdasan Emosi Guru-guru Sekolah Menengah Zon Tengah Semenanjung Malaysia. Kertas projek Sarjana. Universiti Kebangsaan malaysia.

Tajul Ariffin Noordi dan Nor’ Aini Dan. 2002. Pendidikan & pembangunan manusia: pendidikan bersepadu. Bandar Baru Bangi: As-Syabab Media.

Utusan Malaysia 2 th April 2001

No comments:

Post a Comment